Kerja Kursus Geografi PMR 2012 (Mine :D )

11:38 AM

Assalamualaikum w.b.t
Hello, Hai , Welcome :D

Okay, kali ni saya nak kongsi contoh Kerja Kursus Geografi PMR 2012 .
Bolehlah kalau nak buat rujukan atau contoh .
One thing ,   kalau anda ada rujuk kerja kursus ini atau ambil mana-mana bahagian sebagai contoh,
saya minta jasa baik anda semua untuk sekurang-kurangnya meninggalkan sepatah dua kata di ruangan Komen pada post ini ataupun pada Chat Box di sebelah kanan Blog ini . Mudah saja kan ? :D
Okay, here it comes . Hope it will be a bit of help to all of you to complete yours :)




Ekosistem Hutan Terganggu di Hutan Lipur Jeram Linang
18500 Machang, Kelantan
Nama Pelajar: Achmad Bakhtiar bin M Yuni
Nombor Kad Pengenalan : 970127-03-xxxx
Kelas : 3 Unggul
Sekolah : The Malay College Kuala Kangsar
Nama Guru : Puan Norsyazila binti Abdul Rahman



 
Senarai Kandungan
Perkara                                                                                                Halaman

1)Penghargaan…………………………………………………………………………
2)Pendahuluan…………………………………………………………………………
3)Objektif Kajian……………………………………………………………………...
4)Kawasan Kajian……………………………………………………………………..
5)Kaedah Kajian……………………………………………………………………….
6)Dapatan Kajian………………………………………………………………………
7)Rumusan……………………………………………………………………………..
8)Lampiran……………………………………………………………………………..
9)Rujukan……………………………………………………………………………….




Penghargaan
      Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Encik Anand bin Baharuddin, Pengetua The Malay College Kuala Kangsar kerana telah memberi kebenaran dan sokongan untuk menjalankan kajian ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Norsyazila binti Abdul Rahman selaku guru subjek Geografi yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan bimbingan sepanjang proses menyiapkan kerja kursus ini.
      Selain itu, saya juga ingin mengekspresikan penghargaan yang tidak terhingga kepada kedua-dua ibu bapa saya yang telah banyak memberi sokongan moral serta membiayai segala kos yang diperlukan untuk menghasilkan kerja kursus ini. Tidak lupa juga ribuan terima kasih saya tujukan kepada rakan-rakan saya iaitu, Khairul Syahman bin Juhar serta Muhammad Amir bin Saari yang telah banyak membantu saya dalam proses pengumpulan maklumat. Tanpa bantuan individu-individu di atas, saya yakin akan menjadi sukar untuk saya menyiapkan tugasan ini.







Pendahuluan
  
 
Saya dan rakan-rakan setingkatan telah diwajibkan untuk menyiapkan kerja kursus Geografi sebagai salah satu tugasan PMR kami. Oleh itu, saya telah memilih untuk membuat kajian tentang soalan pertama iaitu tentang Ekosistem Hutan Terganggu Di Kawasan Kajian. Tajuk kajian saya bagi kerja kursus ini ialah Ekosistem Hutan Terganggu Di Hutan Lipur Jeram Linang.
       Saya memilih Hutan Lipur Jeram Linang sebagai kawasan kajian untuk kerja kursus ini kerana pada hemat saya hutan ini memainkan banyak peranan bukan sahaja untuk penduduk di sekitar kawasan ini malah kepada flora dan fauna yang menghuni hutan ini. Jika ekosistem hutan ini tidak dijaga, saya yakin banyak masalah yang akan timbul lantas menyusahkan banyak pihak.
       Saya menjalankan kajian ini semasa cuti persekolahan penggal pertama. Kajian ini mengambil masa seminggu iaitu dari 12 Mac sehingga 18 Mac. Saya menulis laporan kajian ini secara individu berdasarkan maklumat yang dikumpulkan secara individu dengan bantuan beberapa pihak yang lain seperti keluarga dan rakan-rakan. Laporan kajian ini berjaya disiapkan dalam masa 3 bulan iaitu dari bulan Mac sehingga bulan Mei.





Objektif Kajian

Kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk :
a)      Mengenal pasti dan menyatakan konsep ekosistem hutan.
b)      Mengenal pasti dan menyenaraikan kepentingan ekosistem hutan di Hutan Lipur Jeram Linang.
c)      Mengenal pasti dan menyenaraikan faktor-faktor yang menyebabkan ekosistem hutan di Hutan Lipur Jeram Linang terganggu.
d)      Mengenal pasti dan menyenaraikan cadangan-cadangan untuk mengurangkan kesan ekosistem hutan terganggu di Hutan Lipur Jeram Linang.

                                   

Kawasan Kajian
          Kawasan yang saya kaji untuk tugasan ini ialah Hutan Lipur Jeram Linang. Hutan lipur ini telah dibangunkan semenjak 1983. Ia dirasmikan dengan pembukaannya oleh Menteri Besar Kelantan pada 21hb Mac 1984. Hutan ini terletak di dalam Hutan Simpan Ulu Sat di dalam Jajahan Pasir Puteh,Kelantan.
         Hutan Lipur Jeram Linang terdiri daripada jenis Hutan Dipterokarp Bukit dan Pamah. Hutan lipur ini mempunyai pelbagai flora dan fauna yang mendiaminya. Pelbagai aktiviti yang menarik boleh dijalankan disini seperti berehat, mandi-manda, berkhemah. Beberapa kemudahan turut disediakan untuk memastikan keselesaan para pengunjung seperti pondok rehat, dewan, surau, gerai dan lain-lain. Hutan lipur ini juga sesuai untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang menarik bersama keluarga dan rakan-rakan seperti trekking, berjogging, dan bersiar-siar.
         Lokasi hutan lipur ini ialah lebih kurang 22km dari bandar Machang dan 14km dari Bandar Pasir Puteh. Jarak perjalanan dari persimpangan jalan utama Pasir Puteh-Machang ke Hutan Lipur Jeram Linang ini ialah sejauh 2.6km. Pengunjung boleh sampai ke Hutan Lipur Jeram Linang dengan menaiki kenderaan sendiri atau sewaan. Tiada pengangkutan awam seperti bas yang melalui jalan hutan lipur ini. Di sebelah kiri dan kanan jalan masuk sejauh 2.6km dari persimpangan jalan utama Pasir Puteh- Machang ke Hutan Lipur Jeram Linang ini ialah kawasan tanah milik dan jalan bertar.



Peta

Boleh didapati di Internet .
-------> http://ptjpp.kelantan.gov.my/v4/images/stories/gambar_ptjpp/peta_pasir_puteh.gif


Peta Daerah Pasir Puteh







                                                     Peta Hutan Lipur Jeram Linang
boleh didapati di Internet .
--------> http://www.mdmachang.gov.my/image/image_gallery?uuid=0fe7304e-7c3f-4c2d-94a4-e82d3c322dac&groupId=10131&t=1234354030927
# Perhatian ! Peta kawasan kajian (peta diatas) mestilah dilukis menggunakan tangan ! Sila rujuk helaian soalan Kerja Kursus Geografi PMR 2012 untuk maklumat lebih lanjut .



Kaedah Kajian
   Sepanjang menjalankan kerja kursus ini, pelbagai kaedah telah saya gunakan dan praktikkan sepanjang proses pengumpulan bahan dan maklumat. Antara kaedah yang telah saya gunakan ialah melalui pemerhatian. Saya telah melakukan pemerhatian yang teliti terhadap kawasan,aktiviti,kemudahan serta sebagainya yang terdapat di Hutan Lipur Jeram Linang. Saya telah melakukan pemerhatian selama beberapa hari di kawasan kajian semasa cuti sekolah.
    Selain itu, saya turut melakukan rujukan terhadap kawasan kajian , iaitu Hutan Lipur Jeram Linang melalui beberapa laman sesawang yang terdapat di Internet. Saya telah berjaya mendapatkan maklumat tambahan berkaitan sejarah, latar belakang serta pelbagai informasi tambahan tentang kawasan kajian melalui kaedah ini. Ternyata laman-laman sesawang tersebut banyak membantu sepanjang proses pengumpulan maklumat bagi menyelesaikan tugasan ini.




Dapatan Kajian
Konsep Ekosistem Hutan di Hutan Lipur Jeram Linang
     Ekosistem atau sistem ekologi adalah merupakan pertukaran bahan-bahan antara bahagian-bahagian yang hidup dan yang tidak hidup di dalam suatu sistem. Ia turut dikenali dengan istilah biotik dan abiotic. Ekosistem dicirikan dengan berlangsungnya pertukaran bahan dan transformasi energi yang sepenuhnya berlangsung d iantara berbagai-bagai komponen dalam sistem itu sendiri atau dengan sistem lain di luarnya.
  
    Di Hutan Lipur Jeram Linang , ekosistem hutannya dapat ditakrifkan sebagai kerjasama dan pergantungan antara komponen hidup dan komponen tidak hidup. Komponen biotik yang terlibat dalam ekosistem hutan ialah seperti tumbuhan hijau yang bertindak sebagai pengeluar  pelbagai peringkat pengguna.
    Manakala komponen abiotik ialah:
          a)  Tenaga matahari: berperanan membekalkan tenaga kapada pengeluar & menjamin suhu yang tinggi.
          b)  Hujan: pembekal utama sumber air kepada komponen biotik. Hujan turun dengan lebat kira-kira 2000mm setahun.
          c)  Tanih: berasal daripada batuan yang telah diluluhawakan secara luluhawa kimia yang menghasilkan pelbagai jenis regolit ataupun tanih seperti tanah laterit, tanah liat, tanah pasir & sebagainya.

Kepentingan Ekosistem Hutan di
Hutan Lipur Jeram Linang
   Hutan dianggap sebagai sumber yang boleh diperbaharui.Benar, tetapi untuk memperbaharuinya mengambil masa yang agak lama. Hutan yang sudah dimusnahkan oleh manusia atas dasar pembangunan, sukar untuk pulih seperti sediakala. Dengan fungsinya sebagai biodiversiti menjadikan Malaysia sebagi salah satu khazanah dunia yang kaya dengan pelbagai kehidupan biotik dan abiotik. Sesungguhnya hutan mempunyai peranan yang sangat besar di dalam kehidupan manusia.
   Di Hutan Lipur Jeram, ekosistem hutan merupakan salah satu faktor yang amat penting bagi menjamin kestabilan hutan. Antara kepentingan ekosistem hutan terhadap Hutan Lipur Jeram Linang ialah sebagai habitat flora dan fauna. Terdapat pelbagai jenis flora dan fauna yang mendiami hutan ini seperti pokok jenis Kenangan Hutan dan sebagainya. Haiwan-haiwan seperti monyet, ular dan sebagainya turut menjadikan hutan ini sebagai habitat mereka bagi menjamin kemandirian spesis.
      Selain itu, hutan ini juga berfungsi untuk menyederhanakan suhu kawasan sekelilingnya. Dengan sifatnya yang melakukan fotosintesis,hutan menggunakan karbon dioksida dapat menyejukkan suhu bumi.Suhu setempat juga dapat dikawal melalui penanam pokok yang besar,terutama di kawasan Bandar.Hutan penting sebagai agen penyejuk serta menyederhanakan kawasan yang panas.Dengan pembalakan secara berleluasa tanpa kawalan akan menyebabkan suhu dunia bertambah panas.Fenomena pemanasan global biasanya dikaitkan denga n kesan rumah hijau dan pertambahan karbon dioksida.
                                                                          
       Seterusnya, Hutan Lipur Jeram Linang penting sebagai ekopelancongan. Masyarakat dunia sekarang melihat bahawa gabungan ekologi dan pelancongan menghasilkan kaedah pelancongan yang hebat.Konsep eko pelancongan sangat bertepatan dengan Hutan Lipur Jeram Linang ini kerana saban hari semakin ramai orang yang datang berkunjung ke sini untuk menikmati keindahan alam di samping meluangkan masa cuti bersama keluarga serta rakan-rakan.
      Di samping itu, Hutan Lipur Jeram Linang juga sebenarnya berpotensi untuk dimajukan sebagai sumber makanan serta buah-buahan.Buah-buahan atau tumbuhan yang tumbuh secara meliar di dalam hutan ini boleh menjadi sumber makanan melalui kajian serta penyelidikan yang mendalam. Selain itu, ada juga pihak yang mengusahakan tanaman buah-buahan di sekitar kawasan hutan ini memandangkan tanahnya yang subur sesuai untuk penanaman pelbagai jenis tumbuhan.
     Saya bersyukur kerana melalui penyelidikan yang telah saya jalankan bagi menyiapkan tugasan ini, saya telah dapat mengetahui tentang kepentingan ekosistem Hutan Lipur Jeram Linang terhadap pelbagai pihak. Tambahan pula, ia menyedarkan diri saya tentang betapa pentingnya ekosistem hutan ini terhadap manusia dan alam sekitar.



Faktor Yang Menyebabkan Ekosistem Hutan
Terganggu Di Hutan Lipur Jeram Linang
    Melalui kajian dan penyelidikan yang telah saya lakukan terhadap Hutan Lipur Jeram Linang, saya mendapati bahawa ekosistem hutan ini terganggu. Terdapat beberapa faktor yang menunjangi permasalahan ini. Antaranya ialah pembinaan petempatan. Terdapat segelintir penduduk di kawasan sekitar yang telah membina beberapa buah rumah serta gerai bagi kegunaan serta keuntungan diri mereka sendiri. Hal ini jelas menjejaskan habitat semula jadi haiwan-haiwan serta tumbuhan yang mendiami kawasan tersebut sekaligus menjejaskan ekosistem hutan ini.
    Seterusnya, hal ini juga berlaku kerana perubahan cuaca dan iklim.Kejadian kemarau yang kadang kala berlaku secara berpanjangan di sini menyebabkan tumbuhan mati. Ia menyebabkan berlaku kepupusan terhadap pengeluar iaitu tumbuhan hijau. Dengan ini, pengguna akan  menghadapi masalah ketidakcukupan makanan dan hal ini jelas mengganggu proses rantaian makanan dan pengaliran tenaga seterusnya menyebabkan ekosistem tersebut terganggu.
     Selain itu, ekosistem Hutan Lipur Jeram Linang turut terganggu disebabkan oleh aktiviti pembalakan yang berleluasa. Terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dengan melakukan aktiviti ini secara tersembunyi dan tidak terkawal. Aktiviti ini menyebabkan kemusnahan spesies fauna dan flora secara besar-besaran. Kemusnahan rantaian makanan, kehilangan habitat mejejaskan ciri ekologi dan mengganggu ekosistem tersebut.

    Di samping itu, penerokaan sumber merupakan salah satu faktor yang menjadi tunjang utama terhadap gangguan ekosistem di Hutan Lipur Jeram Linang. Hutan yang menyimpan pelbagai tumbuhan herba seperti misai kucing dan tongkat ali menjadikan banyak pihak yang meneroka hutan ini bagi mendapatkan tumbuhan-tumbuhan tersebut. Penerokaan sumber telah menyebabkan banyak pokok yang tidak berguna ditebang demi memudahkan proses pencarian tumbuhan yang berharga. Oleh itu, rantaian makanan akan terganggu sekaligus menjejaskan ekosistem hutan ini.
     Akhir sekali, ekosistem hutan di kawasan kajian turut terganggu disebabkan oleh aktiviti pelancongan yang saban hari semakin pesat. Ramai pelancong yang berkunjung ke sini untuk aktiviti perkhemehan, jungle trekking dan bermandi-manda. Mereka bukan sahaja meninggalkan sampah di dalam hutan malah mencemarkan hutan dengan melakukan pembakaran, menebang pokok demi keseronokan dan sebagainya. Hal ini menjejaskan kestabilan ekologi hutan dan menjerumus kepada gangguan ekosistem hutan.
      Saya bersyukur kerana melalui kajian yang telah saya lakukan, saya telah mempelajari faktor-faktor yang menyebabkan ekosistem Hutan Lipur Jeram Linang terganggu. Kajian ini telah menyebabkan saya sedar bahawa pentingnya untuk manusia bagi menjaga serta mengekalkan kestabilan ekosistem hutan di negara kita.



Kesan Ekosistem Hutan Terganggu Di
Hutan Lipur Jeram Linang
    Saya telah menyatakan pada halaman lepas tentang gangguan ekosistem di Hutan Lipur Jeram Linang serta faktor-faktor yag menyebabkan gangguan tersebut berlaku. Di sini, saya ingin menyatakan tentang kesan-kesan yang timbul rentetan daripada gangguan ekosistem hutan di Hutan Lipur Jeram Linang.
       Antara  implikasi yang timbul daripada permasalahan ini ialah meningkatkan kadar hakisan. Aktiviti pembalakan di hutan ini menyumbang kepada berlakunya hakisan tanah. Apabila hutan ditebang, akar-akar pokok tidak lagi mencengkam tanah di bawah permukaan bumi. Apabila tiada akar untuk mencengkam tanah, menyebabkan struktur tanah menjadi longgar. Apabila hujan turun, aliran air hujan akan menyebabkan struktur tanah menjadi lembut dan lincin. Tanah yang lembut dan lincin akan bergerak menuruni cerun-cerun bukit dan berlakulah tanah runtuh. Kejadian tanah runtuh bukan sahaja merosakkan ekosistem hutan, tetapi turut membahayakan nyawa manusia. Nyawa manusia terancam apabila ada pelancong-pelancong yang datang melawat kawasan tersebut lalu ditimpa tanah runtuh.
    
     Selain itu, gangguan ekosistem hutan di kawasan kajian turut menyebabkan kekurangan sumber kayu balak. Pokok-pokok balak yang berharga seperti cengal, meranti, seraya, keruing dan lain-lain akan musnah. Ini akan mengganggu aktiviti ekonomi berasaskan sumber pembalakan industri perabot, industri kayu dan lain-lain. Hal akan ini menjejaskan pendapatan penduduk dan negara. Seterusnya, gangguan ekosistem hutan juga menyebabkan pelepasan karbon dioksida akan terus berlaku sehingga menyumbang kepada pemanasan global. Hal ini menyebabkan berlakunya peningkatan suhu.
        Saya bersyukur kerana melalui penyiapan tugasan ini, saya telah dapat mengetahui tentang kesan-kesan yang timbul akibat daripada gangguan ekosistem hutan di Hutan Lipur Jeram Linang. Hal ini menimbulkan rasa prihatin dalam diri saya sebagai seorang rakyat Malaysia untuk memelihara hutan-hutan di negara kita.

Cadangan Untuk Mengurangkan Kesan Ekosistem Hutan Terganggu Di Hutan Lipur Jeram Linang
        Kita telah sedia maklum tentang kesan-kesan yang timbul akibat daripada gangguan ekosistem hutan. Berikut merupakan cadangan yang saya fikirkan relevan bagi mengatasi masalah ini daripada terus berlaku tanpa kawalan. Antara cadangan yang sesuai bagi menstabilkan ekosistem hutan di Hutan Lipur Jeram Linang adalah dengan menguatkuasaan undang-undang yang telah sedia ada. Kerajaan telah meluluskan akta perhutanan Negara dan akta industri berasaskan kayu pada tahun 1984. Di bawah akta ini telah menggariskan beberapa larangan seperti, memasuki kawasan hutan kekal, menebang, memotong dan lain-lain. Mereka yang melakukan kesalahan akan dibawa ke mahkamah dan didenda sehingga RM 50 000 atau 2 tahun penjara.
          Selain itu, ekosistem hutan dapat dikawal melalui pendidikan. Pendidikan tentang alam sekitar boleh dilaksanakan pada dua peringkat iaitu peringkat sekolah sebagai kurikulum formal yang diajar dalam mata pelajaran Geografi dan juga melalui peringkat kempen kesedaran alam sekitar. Kempen kesedaran alam sekitar biasanya dilaksanakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pencinta Alam Sekitar Malaysia dan juga Sahabat Alam Sekitar (SAM). Kempen-kempen seperti ini haruslah diperbanyak dan digiatkan lagi pengajurannya agar dapat meninggalkan impak yang positif secara efektif terhadap setiap individu di negara kita.
           Seterusnya, penyelidikan dan pembangunan juga boleh dipraktikkan bagi mengatasi gangguan ekosistem hutan di Hutan Lipur Jeram Linang. Pihak-pihak seperti Jabatan Perhutanan seharusnya mengadakan penyelidikan yang terperinci serta memikirkan cara-cara yang sesuai agar tanaman yang mengalami kepupusan dapat dijaga dan dibiak kembali bagi mengelakkan kepupusan spesis. Selain itu, inisiatif haruslah difikirkan agar habitat flora dan fauna dapat dijaga dan dielakkan daripada berlakunya pencerobohan. Hal ini adalah bertujuan untuk mengurangkan kesan gangguan ekosistem hutan di negara kita.

       Saya bersyukur kerana melalui kajian ini, saya telah dapat mencadangkan beberapa cara yang relevan bagi mengurangkan kesan gangguan ekosistem hutan di negara kita. Ia telah menyebabkan saya sedar akan kepentingan untuk menjaga kestabilan ekosistem hutan di negara kita.



Rumusan
         Sebagai rumusan, saya dapati ekosistem atau sistem ekologi adalah merupakan pertukaran bahan-bahan antara bahagian-bahagian yang hidup dan yang tidak hidup di dalam suatu sistem.
                 Selain itu, saya mendapati bahawa kepentingan ekosistem hutan di Hutan Lipur Jeram Linang ialah sebagai habitat flora dan fauna, menyederhanakan suhu kawasan sekelilingnya,ekopelancongan dan juga sumber makanan. Saya telah mengenalpasti faktor-faktor yang menyebabkan ekosistem hutan di Hutan Lipur Jeram Linang terganggu iaitu pembinaan petempatan, perubahan cuaca dan iklim, aktiviti pembalakan, penerokaan sumber hutan dan aktiviti pelancongan.
                 Seterusnya, saya mendapati bahawa kesan-kesan gangguan ekosistem hutan di kawasan kajian ialah meningkatkan kadar hakisan, mengancam nyawa manusia, kekurangan sumber kayu balak, dan juga peningkatan suhu. Saya telah menyenaraikan beberapa cadangan bagi mengurangkan kesan gangguan ekosistem di kawasan kajian iaitu dengan menguatkuasakan undang-undang, memberikan pendidikan alam sekitar, menganjurkan kempen alam sekitar, dan juga mengadakan penyelidikan dan pembangunan.
                 Apabila kesan gangguan ekosistem hutan dapat dikurangkan atau dibasmi, adalah tidak mustahil bagi negara kita untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.Saya berasa bangga dan bersyukur kerana dapat menyiapkan kerja kursus ini dengan lancar. Melalui kerja kursus ini, pelbagai perkara telah saya pelajari dan fahami.



  Lampiran            

  
Saya tidak meletakkan lampiran memandangkan bahan-bahan seperti gambar dan sebagainya sukar untuk 
 

diupload . Oleh itu, anda boleh meletakkan bahan-bahan yang bersesuaian di ruangan ini. Antara bahan 

yang sesuai untuk diletakkan ialah :


  • Salinan kad pengenalan calon , orang yang ditemu duga, orang sumber
  • Borang soal selidik (jika ada)
  • brouchure
  • Gambar melawat tempat kajian
  • Dokumen-dokumen yang berkaitan
#Jangan lupa tulis kapsyen di setiap bahan lampiran yang diletakkan
# Gambar-gambar tempat kajian ini boleh didapati di Internet :
------>  https://www.google.com.my/search?q=peta%20daerah%20pasir%20puteh&oe=utf-8&rls=org.mozilla:en-GB:official&client=firefox-a&um=1&ie=UTF-8&hl=en&tbm=isch&source=og&sa=N&tab=wi&ei=ROzET_-NA8q8rAeZ9_jrCQ&biw=1024&bih=536&sei=SezET6qHIYrxrQeuivXrCQ#um=1&hl=en&client=firefox-a&rls=org.mozilla:en-GB%3Aofficial&biw=1024&bih=536&tbm=isch&sa=1&q=hutan+lipur+jeram+linang&oq=hutan+lipur+jeram+linang&aq=f&aqi=&aql=&gs_l=img.12...0.0.1.2041.0.0.0.0.0.0.0.0..0.0...0.0.4l1vzJUc5-M&pbx=1&bav=on.2,or.r_gc.r_pw.r_qf.,cf.osb&fp=8ec2d881f2ccceb5



Rujukan

1)Buku teks Geografi Tingkatan 3 , PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd., 2004
2)Orang Sumber:
Nama : Saleha binti Saleh
Umur : 39 Tahun
Alamat : No 8, Lot 2550 KG Batu 8, 16800 Pasir Puteh, Kelantan
Pekerjaan : Guru
3)Rujukan daripada Internet :
http://pondoksiti.blogspot.com/2011/02/kerja-kursus-geografi-2011-part-1.html
http://smrpanjang.blogspot.com/2010/05/sistem-ekologi.html
http://geografialamsekitar.blogspot.com/2010/07/kesan-pembalakan.html
http://www.ukm.my/zuhairi/Pengajaran/internet_projects/stae2213/kump3/kesan%20keburukan%20penbinaan%20empangan.htm
http://kelip-kelipkehidupan.blogspot.com/2011/05/kerja-kursus-geografi-penulisan-rujukan.html
http://www.mdmachang.gov.my/airterjunjeramlinang
http://www.forestry.gov.my/index.php/ms/component/content/210.html?task=view


  Itu sahaja. Sebarang pertanyaan boleh dibuat sama ada di sini ataupun di :
- Facebook : Achmad Bakhtiar M Yuni  Username: bakhtiar97
-Twitter : Achmad Bakhtiar M Yuni  Username: @ImBakhtiar

Sekian,

Achmad Bakhtiar M Yuni

15
The Malay College Kuala Kangsar

You Might Also Like

1 comments

  1. assalamualaikum, hye!nice having new friends, you share is usch an awesome helps for me, not just in sejarah scrapbook , but also in making geo's folio, thanks, may Allah bless you always(:

    ReplyDelete

Your comment reflects yourself .
So, do leave a comment in a good way :)
Thank you :D