SPM - Karangan Umum : Membaca Jambatan Ilmu

9:08 AM

By The Name of Allah The Almighty and The Most Merciful

Assalamualaikum and hi :)
This is is an example essay that I wrote in the past exam.

Karangan Umum - Membaca Jambatan Ilmu
     

         Slogan "Membaca Jambatan Ilmu" dapat ditakrifkan sebagai aktiviti pembacaan yang akan menghubungkan manusia dengan pelbagai cabang ilmu yang terdapat di dunia. Selain itu, slogan tersebut turut menegaskan bahawa kita mestilah membaca bagi mendapatkan ilmu pengetahuan. Slogan tersebut amatlah wajar untuk kita jadikan sebagai motto atau azimat dalam kehidupan seharian bagi menghidupkan lagi budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara kita. Namun begitu, pada era pascaglobalisasi ini, mausia semakin lama semakin kurang mengambil berat akan kepentingan membaca. Ramai daripada kalangan kita terutamanya golongan remaja yang hanya bersikap acuh tak acuh adan memandang enteng terhadap amalan membaca. Persoalannya, apa gunanya jika slogan " Membaca Jambatan Ilmu " kerap meniti di bibir-bibir kita sedangkan slogan tersebut langsung tidak terzahir oleh perbuatan dan amalan seharian kita? Oleh itu, perancangan yang pragmatik serta inisiatif yang relevan haruslah kita aplikasikan bagi menjadikan membaca sebagai amalan hidup kita.

         Langkah prima yang dapat kita implimentasikan ialah menanam minat untuk membaca dalam diri kita. Pepatah Melayu ada mengatakan, ' tak kenal maka tak cinta' . Prinsip yang sama boleh dikaitkan dengan amalan membaca kerana kita tidak akan dapat membiasakan diri dengan amalan membaca sebagai salah satu aktiviti dalam rutin harian kita sekiranya minat untuk membaca tidak dipupuk. Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk menyemai minat untuk membaca dalam diri kita serta keluarga kita? Kecenderungan untuk membaca pelbagai jenis bahan bacaan berbeza yang terdapat di sekeliling kita seperti buku cerita, majalah, surat khabar, jurnal dan juga karya sastera warisan bangsa kita sendiri. Selain itu, ibu bapa pula seharusnya memainkan peranan masing-masing dengan aktif bagi menyemai minat membaca dalam diri anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah, ' melentur buluh biarlah dari rebungnya ' . Apabila diri kita sudah terdedah dengan pelbagai jenis bahan bacaan yang berbeza, kita akan dapat mengenalpasti genre bahan bacaan yang sepadan dengan minat dan kecenderungan kita sendiri. Dengan ini, sudah tidak dapat dinafikan bahawa memupuk minat membaca akan menyumbang terhadap keberkesanan pengaplikasian amalan membaca dalam kehidupan seharian.

           Selain itu, kita juga seharusnya mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti yang berfaedah seperti membaca. Pada zaman kini, sebilangan besar daripada masyarakat di negara kita gemar atau cenderung untuk memenuhi waktu senggang mereka dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak, bermain permainan video, berpelesaran di pusat-pusat beli belah dan melibatkan diri dengan gejala sosial yang membimbangkan. Hal ini biasanya terjadi dalam kalangan remaja yang belum dewasa akibat desakan nafsu dan keinginan diri untuk menggapai kebebasan bukan seperti ' burung di dalam sangkar, mata terlepas badan terkurung' . Bagi mengatasi hal ini, ibu bapa hendaklah meluangkan masa yang lebih berkualiti bersama anak-anak di samping mendorong mereka untuk menjadikan amalan membaca sebagai aktiviti bagi memanfaatkan masa lapang mereka secara optimum. Di samping itu, ibu bapa juga sewajarnya menjadi teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak dengan turut menjadikan amalan membaca sebagai aktiviti wajib semasa waktu senggang. Dengan ini, anak akan meniru perbuatan kedua-dua orang tua mereka bak kata pepatah, ' ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi' .

            Inisiatif berikutnya ialah membawa buku ke mana-mana sahaja. Perbuatan ini sebenarnya mudah dan tidak sukar sama sekali untuk dipraktikkan. Namun begitu, amalan ini diabaikan oleh masyarakat di negara kita. Sekiranya kita melihat penduduk di negara-negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat, mereka sudah sekian lama mengimplimentasikan amalan ini dalam kehidupan mereka. Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya masyarakat di negara-negara tersebut sangat bertamadun dari pelbagai sudut seperti lahiriah, rohaniah dan juga ekonomi negara. Jadi, sampai bilakah kita ingin berdiam diri dan terus berada di takuk lama? Kita sewajarnya mencontohi perbuatan mereka kerana perbuatan tersebut akan mendatangkan faedah yang besar kepada diri, masyarakat dan negara bak kata pepatah, ' yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan' . Oleh yang demikian, kita mestilah membiasakan diri dengan membawa bersama sebuah buku ke mana-mana tempat sahaja yang kita pergi agar waktu senggang kita akan dapat dimanfaatkan dengan pembacaan ilmiah biarpun sekejap. 

           Di samping itu, kita mestilah melazimkan diri untuk berkunjung ke pesta buku. Pesta buku adalah bertujuan untuk memapar dan mempromosikan karya-karya baharu kepada khalayak ramai. Di pesta buku juga biasanya terdapat potongan harga yang menarik bagi judul-judul buku yang terpilih. Dengan ini, kita akan dapat menjimatkan wang yang sedia ada selain dapat membeli judul-judul buku yang terbaharu di pasaran. Selain itu, kita juga berpeluang untuk bertemu dengan penulis-penulis buku yang terkenal dan masyhur seperti A. Samad Said, Ain Maisarah dan ramai lagi. Peluang keemasan seperti ini tidak seharusnya kita lepaskan kerana melalui pertemuan tersebut kita akan dapat berbual-bicara dengan pengarang buku yang kita minati. Dengan ini, minat kita terhadap membaca akan bertambah di samping dapat meluangkan masa bersama-sama insan tersayang dengan berkunjung ke pesta buku bersama-sama.

           Pertukaran bahan-bahan bacaan dengan rakan turut dapat mendorong kita untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup. Dalam kehidupan, kita tidak akan dapat lari daripada fitrah manusia yang memerlukan rakan dan sahabat bagi meneruskan kehidupan. Oleh itu, kita hendaklah saling berganding bahu bersama rakan-rakan kita bagi menggalakkan antara satu sama lain untuk memupuk minat membaca. Hal ini dapat dilakukan dengan bertukar-tukar buku dan meluangkan masa bersama untuk berbincang mengenai judul buku yang disukai oleh diri masing-masing. Dengan ini, secara tidak langsung dapat mengelakkan diri kita dan rakan-rakan daripada terjebak dengan gejala negatif seperti merokok, pergaulan bebas, vandalisme dan lain-lain. Tambahan pula, talian persahabatan antara kita dan rakan-rakan akan dapat dieratkan ' bagai isi dengan kuku ' . Tuntasnya, rakan-rakan dapat menjadi pemangkin untuk membantu kita dalam usaha untuk menjadikan membaca sebagai amalan hidup.

           Bagi menggulung segala pernyataan di atas, sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan membaca sememangnya penting dan perlu diamalkan dalam kehidupan. Hal ini demikian kerana dengan membaca, kita akan memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan yang akan dapat memacu diri kita ke puncak jaya. Oleh itu, pihak-pihak seperti ibu bapa, guru, sasterawan serta Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBDP ) seharusnya saling bekerjasama bagai ' aur dengan tebing ' bagi menjamin kejayaan usaha murni ini. Sekiranya membaca dapat dijadikan sebagai amalan hidup dalam diri segenap lapisan masyarakat di negara kita, maka visi kudsi negara iaitu ingin melahirkan modal insan pertama dan menjadikan negara kita sebagai sebuah negara maju akan dapat dicapai.

You Might Also Like

13 comments

Your comment reflects yourself .
So, do leave a comment in a good way :)
Thank you :D